Sunday, July 2, 2017

Apabila kita rajin, kita tak perlu mempersoalkan orang yang malas.

Apabila kita rajin, kita tak perlu mempersoalkan orang yang malas. 

Memang ya, asal kita balik ke kampung, kitalah yang buat itu ini, bangun paling awal, siapkan sarapan, kemudian kita juga yang bergegas pergi pasar, dan siap semua kita juga yang ke d
apur basuh ayam, potong daging, kupas kelapa dan siapkan semua bahan nak masak. Masak pun kerja kita. 

Sebab kita ini duduk dapur pagi petang siang malam, maka kita jugalah yang kena basuh pinggan. Elok sahaja yang dalam singki itu melambai-lambai minta tangan kita yang membelai mereka dengan sabun pencuci. 

Jadi kita pun uruskannya. 

Abang kita dan isterinya sedap tengok Siti Nurhaliza menyanyi Sesuci Lebaran di television. Anak-anaknya semua berlari sana sini seronok berkawan dengan sepupu lain. 

Kakak kita pula bukan main kelek anak dari pagi ini hingga pagi esok. Masa itulah anak dia nak susu badan. Kahkah. Biasanya elok je minum susu tepung. 

Adik-adik yang belum bernikah sibuk dengan telefon. Menjaga whatsapp keluarga, tetiba jadi rajin update suasana dalam rumah, selfie dan ambil gambar terus up. Maka kita yang di dapur ini tak ada dalam gambar selalu. 

Malam-malam, kita tidur paling lewat. Sudah siap cuci dapur, kita pun bingkas naik. Mandi, solat dan tidur. Bukan main lena sampai kita berlawan berdengkur kroh krah sekampung dengar. 

Emak pun kata, "kesian si polan, penat di dapur". 

Esoknya abah suruh semua beraya. Tak payah duduk rumah. Sampai di rumah pakcik sana, emak kata "yang abangnya kerja bagus, jurutera di Madagaskar."

Sampai di rumah makcik kepoh, emak cakap, "kakak yang ini akauntan di Atlanta." Semua power-power. 

Sampai ke kau, emak kau bilang, "yang inilah kalau dia balik, kita dapat rehat. Dia lah uruskan semua." 

Emak ayah kita lupa kita kerja apa. Sebab dia sendiri kena cari kita di dapur jika nak bersembang. Sama macam emak dulu-dulu, kerjanya memang sibuk di jantung rumah tersebut. 

Segala jenis sibuk itu, tak sempat nak bising siapa tak buat, siapa yang malas, siapa yang tahu tanya dah masak ke belum? Tak sempat. Sungguh. 

Jiwanya hanya mahu semua ahli keluarga seronok dengan masakan. Baru siap masak, kena masak lagi. Baru siap basuh pinggan, datang lagi 2-3 dulang. Ia seronok. 

Penat memang penat. Namun orang-orang ini tahu, Tuhan selalu mengganjarkan rezeki, menghadiahkan keselesaan hati. Setiap satu pekerjaan yang dibuat, Tuhan tahu yang mereka ini lakukan untuk beri seronok seisi keluarga. 

Wahai kawan, jika kau rajin, kau sendiri kena rajinkan hati kau untuk diam dari bising kenapa itu ini tak berbuat sedang kau pandai dan bijak di dapur. 

Ada orang, balik ke kampung itu nak rehat sungguh. Dah penat kerja sana sini. Jadi dia berharap ada yang bantu.

Ada orang, balik ke kampung memang peluang keemasan nak beramah mesra dengan saudara. Baju liplap dia paling power sampai tak payah pasang lampu dah dalam rumah. Berseri bukan main. 

Ada orang, memang dialah orang dapur. Duduklah dia di situ pagi petang siang malam. Nak bersembang tak sempat, nak itu ini juga tak ada masa, hanya masak, kemas, basuh dan ulanglah sampai balik nanti. 

Itulah hari raya. Tak perlu berasa hati. Kita pasti seronok kerana kita ada tulang yang ringan. Dan kegembiraan itu adalah bahagianya ibu bapa. 

Buat apa mahu sembang di media sosial marah si itu malas, si sana mengelat. Tak ada gunanya. Kita buat sahajalah. 

Kita rajin. Jadi kita pasti ada hati yang baik, kan?

Orang rajin merupakan orang yang bahagia membahagiakan orang lain. 

Begitulah. 

No comments:

Post a Comment

RESEPI CREAM PUFF (CHOUX PASTRY & ECLAIRS)

PASTRI BAHAN A 555gm air 4gm garam 4gm gula 200gm Anchor butter BAHAN B 300gm tepung gandum lebih kurang 8 biji telur gred A...